Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Tuesday, June 1, 2010

Al-Kisah Semut

Jom baca cerita tentang semut. Saya jumpa dalam blog seorang sahabat ni.. Moga memberi manfaat. InsyaAllah.. =)


Alkisah di zaman dahulu kala, terdapatlah segerombolan semut yang tinggal di sebuah kawasan penempatan semut. Semut ini tersangatlah rajin. Mereka saling bantu-membantu dalam melaksanakan keperluan harian. Ada yang mengangkut makanan, adanya mencari makanan, bahkan terdapat juga semut yang menjaga lalulintas semut-semut lain. Mereka juga amatlah berdisiplin dalam kehidupan harian. Jalannya selalu dalam keadaan berbaris.

Dalam komuniti semut ini, terdapat seekor semut yang bernama Mail(bukan nama sebenar). Beliau merupakan seekor semut biasa, semut awam, bukannya seekor pahlawan, bukan jua seekor panglima semut, tidak daripada golongan pembesar apatah lagi daripada golongan pemerintah. Beliau melalui hari-hari dalam hidupnya seperti semut-semut awam yang lain. Mereka bekerja mencari makanan, membayar cukai, dibayar gaji dan lain-lain lagi. Sama seperti semut-semut lain. Merka diperintah oleh Permaisuri Ahstauiaka(bukan nama sebenar) iaitu pewaris takhta ke-18 dinasti semut wilayah timur.
Pada suatu hari, Mail ditugaskan mencari makanan di sekitar hujung kawasan jajahan takluk pemerintahan Pemaisuri Ahstauiaka, atau kata lainnya di pinggir bandar Xareshgkyia(bandar utama jajahan Pemisuri Ahstauiaka). Mail menuruti arahan itu dengan penuh dedikasi. Di waktu yang sama, penduduk bandar semut tersebut melakukan aktiviti harian mereka seperti biasa di luar sarang semut. Ada yang berjual beli di pasar, ada yang berada di kedai menggunting sesungut, dan macam-macam lagi.

Ketika dalam perjalanan, Mail terdengar satu bunyi yang amat kuat. Tahulah Mail bahawa itu merupakan bunyi tapak kaki manusia yang sedang menuju ke arah bandar Huatfaoa. Mail cemas! Pada fikirannya beliau membayangkan bagaimana manusia-manusia itu akan memijak rakyat negaranya yang sedang berada di luar sarang mereka. Panglima akan dipijak, pahlawan juga, apatah lagi pembesar, bahkan Pemisuri Ahstauiaka juga akan dipijak oleh manusia-manusia itu!

Lalu dengan cepatnya Mail berlari menuju kembali ke tengah bandar Xareshgkyia. Beberapa kali kaki Mail tertusuk duri, beberapa kali juga Mail terlanggar pokok-pokok kecil, namun tidak Mail endahkan kesakitan yang dialaminya, demi memikirkan keselamatan komuniti semutnya. Dalam masa yang sama, Mail dapat mendengar derupan kaki manusia tersebut semakin kuat, lantas menambakan kerisauannya terhadap nasib komunitinya.

Mail berlari semakin laju. Pabila menghampiri bandar Xareshgkyia, Mail pun menjerit :
" Fgahii sajhhjf htahja agsftyhgjas gasg aa jgyufabnh!! Gakhaufayhj fajjhfa jkfayf fah7v fjahfafh Xareshgkyia fha!! Fgahii!!! Fgahii!!"

(transilasi - Lari ke dalam sarang kamu semua!! Ada manusia sedang menghampiri bandar kita!! Mereka tidak sedar tentang kewujudan bandar Xareshgkyia kita!! Lari!! Lari!!)

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Ini kisah tahyul, rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

Ini pula kisah benar, yang pernah berlaku di suatu masa dahulu :

Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, "Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari." (Surah An-Naml,27 : 18)

Kita dapat melihat bagaimana seekor semut biasa, begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk menyelamatkan kaumnya daripada diinjak oleh Nabi Sulaiman dan tentera-tenteranya.

Begitulah jua hendaknya kita sebagai manusia biasa, biar tidak punya kuasa, wang, pangkat atau apa-apa sekalipun, tetap berusaha untuk menyelamatkan umat kita yang berada dalam keadaan merbahaya sekarang. Kita hendaklah mengambil semangat semut dalam kisah Nabi Sulaiman dan juga semangat Mail, betapa pentingnya tanggungjawab dan usaha kita dalam menyelamatkan umat sekarang. Bagaimana kerdilnya semut itu, namun besar semangatnya untuk melihat kaumnya selamat.

Mungkin kita bukanlah seorang ustaz/ah, bukan juga seorang yang disegani, apatah lagi seorang menteri, namun kita harus menanam perasaan bertangungjawab dan sentiasa berusaha untuk menyelamatkan ummah kita ini lantas membawa mereka kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar.

Marilah kita belajar dari alam.. ^^v

Wallahua'lam.

No comments: