Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Monday, May 31, 2010

Rasa di Hujung Kata


Pandanglah ke bawah untuk merasai syukur atas nikmat dunia
Pandanglah ke atas untuk lebih bersemangat menyediakan bekal ke akhirat

Kadangkala sifat mahmudah itu tidak dapat disemai
hanya dengan ibadah, tetapi hanya dituai hasil
mehnah (didikan) sebuah mujahadah

Begitulah jua mazmumah yang ada di kalbu kita
kadangkala dicuci dengan kesempitan rezeki dan
hentakan kesedihan. Berlapang dadalah dalam semua hal
kerana kesederhanaan itu selalunya menyelamatkan

Maaf atas segala yang terkurang kerana disitulah
letaknya kesempurnaan manusia. Tetapi santunilah hati
yang sentiasa mengharapkan kebaikan

Sejauh mana kasih kita kepada Allah
itulah ukuran kasih yang dapat kita berikan
kepada manusia.



Hasil nukilan : Pahrol Mohd. Joui


Cinta tanpa syarat

Best lagu ni.. cuma sedih mengenangkan ku belum mampu untuk menjadi permata buat ayah bonda.

Adakala merasa diri ini masih belum mampu mempraktikkan cinta tanpa syarat itu terhadap mereka. Cinta yang berteraskan keikhlasan tatkala menunjukkan kasih sayang dalam bentuk tindakan, percakapan mahupun secara doa. Memberi dan terus memberi tanpa mengharapkan balasan yang setimpal dari penerima.

Betapa kasihnya ayah bonda pada anak-anaknya. Semuanya cinta tanpa syarat.

Saturday, May 29, 2010

di mana ?


Suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan. “ Apakah engkau takutkan Allah ? ”

Dia menangis dan menjawab, “Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tapi aku tidak.”

Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagi aku yang hina dan dosa ini. Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dasyat sekali.

Aku hanyalah seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintaiNya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintaiNya.

Kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunanNya lebih luas daripada kemurkaanNya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya, aku yakin.. suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita terus mengemis kasihNya..


Wallahua'lam.


Petikan dari Di mana DIA dihatiku.

Friday, May 28, 2010

Belajar Tawakal Daripada Semut

Hampir seminggu membaca buku “Di mana DIA Di Hatiku” hasil nukilan Ustaz Pahrol Md. Joui. Tak habis-habis lagi. Bukan malas. Tapi saya suka baca sehari dalam dua atau tiga bab saja dari buku itu. Ingin saya kongsikan tentang salah satu bab dari buku itu.


Belajar Tawakal Daripada Semut.

Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukan untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut ke dalam botol dengan diletakkan gula sebanyak sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itu dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda mendapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang dihabiskan oleh semut tersebut. Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum ?

Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Oleh sebab itu, dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia ( Nabi Sulaiman), dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat prihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun ? Apa yang akan terjadi nanti ?

Mesej

Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari daripada semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki, sebaliknya bergantunglah kepada Allah. Tawakallah pada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.

Thursday, May 27, 2010

Wajah Suci Itu

Wajah Suci Itu
Satu petang , tetiba satu MMS masuk. Siapakah insan yang rajin hantar MMS petang-petang ni. Saya pun buka. Lalu tersenyum sendirian. Gambar seorang budak perempuan tersenyum sambil memegang bear warna pink. Sangat comel. Seorang sahabat saya ni hantar gambar adik dia rupanya. Katanya, boleh la saya tengok gambar tu kalau tengah marah. Saya akui yang saya sangat suka tengok gambar kanak-kanak. Suka tengok je. =)
Kadang-kadang kalau marah datang menyapa, tengok wajah suci kanak-kanak dapat buat saya tersenyum. Wajah suci itu tidak berdosa. Penyejuk mata penenang di hati. Moga kelak dia menjadi anak yang solehah. InsyaAllah..

Berubah Jadilah Insan Yang Tenang
Sahabat saya pesan lagi. Katanya, marah itu boleh dikawal sebenarnya. Kadangkala kita saja yang terlalu ikut emosi. Aduh. Kena sedas tembakan tepat ke sasaran. Saya akui hal itu. Dulu, mungkin boleh la diketegorikan diri ini sebagai seorang yang agak panas baran. Ada saja benda yang tak kena pada pandangan saya. Tertekan jadi orang panas baran ni. Jadi, anda tak payah la berangan-angan untuk menceburi bidang ini. Sekarang, ada je lagi panas baran tu. Huhu.. Cuma mungkin lebih terkawal. Kena belajar positifkan diri. Kena belajar senyum. Senyum pun kena belajar. Apalah saya ni.

Cukuplah Jangan Pentingkan Diri
Bercakap pasal perasaan. Setiap manusia ada perasaan. Anda, saya dan mereka. Memang susah nak jaga perasaan semua orang dan sememangnya kita tidak mampu berbuat demikian. Bagi yang bergelar manusia, semuanya ada batas. Termasuklah perasaan sabar. Di saat insan lain sudah cukup sabar dengan kerenah kita, kemungkinan besar boleh mengundang kebosanan dan paling dikhuatiri akan bercambang benih-benih kebencian. Jadi, wahai diri cukup-cukuplah terlalu mengikut perasaanmu. Cukup sampai di sini. Usah tabur baja-baja yang hanya menyeksa batinmu dan insan-insan lain. Jujurlah dengan diri sendiri.

Bersederhana Dalam Menyintai
Sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya :
"Cintailah kekasihmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi musuhmu pada suatu
saat nanti. Dan bencilah musuhmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi sahabat
dekatmu pada suatu saat nanti.”
(Riwayat Tirmizi)

Umar bin Khaththab berkata: "Janganlah cinta membuatmu terbelenggu oleh beban yang
berat, dan janganlah rasa bencimu membuatmu hancur lebur
.”

Wallahua’lam

Wednesday, May 26, 2010

Permohonan Hatiku | Perbaikilah Diri.

Monolog Hati
Indahnya malam ciptaan Tuhan. Memerhatikan keindahnya membuatkan hati kagum dengan Penciptanya. Namun hati diulit resah. Resah mengenangkan dosa yang semakin bertimbun tapi taubatnya entah ke mana. Ya Allah.. hambaMu ini malu menghadapMu kerna terlalu banyak dinodai dosa. Hanya keluhan dihati.. Namun, mampukah dosa itu sirna dengan hanya mengeluh. Dan sekadar air mata tak mampu membasuhi dosa-dosaku ini..Apakah dengan ibadah terbarai, dosa yang menimbun mampu tertebus dengan keluhan ?

“Berwuduklah..” Pujuk hati.
“Nantilah.. aku malas.”
“Berwuduklah..” Pujuknya lagi.
“ Tidak.. Nantilah.. aku malas”
“Kau cintakan dunia..!!”
“Diamlah kau..” Petah diri ini membidas.
“Tak malukah kau menikmati segala nikmatNya. Masa terus berlalu menghampiri saat pertemuan itu. Bersediakah kau menghadapNya dengan berselimut dosa..”
Aku diam. Bisu bila dicantas dengan sindiran hati..

Asas Membaiki Diri
Akidah yang sejahtera yang menjadi pendokong hidup. Segala urusan dan segala apa yang dimilikinya tidak kira waktunya, usahanya, fikirannya, hartanya dan jiwanya diserahkan hanya keranaNya.

Langkah Harus Dicipta
:: Ibadah Yang Sahih
Wahai diri.. Ikhlaskanlah hatimu dalam melakukan ketaatan kepadaNya. Baiki solatmu. Baiki solatmu. Baiki solatmu. Solat yang diterima Allah adalah solat yang mampu mencegahmu dari kemungkaran dan kejahatan. Usah ego. Ingatlah..Kau bukan Tuan apatah lagi Tuhan. Hakikatnya..hanyalah hamba yang tak punyai apa-apa.

Firman Allah yang mafhumnya:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”
(Ad-zhariyyat : 56 ).

::Akhlak Yang Teguh
Menghiasi diri dengan akhlak yang mulia bererti kita mesti meninggalkan akhlak yang hina. Teladan kita adalah Rasulullah. Bukan hanya dengan kata-kata. Tapi lakukan. Praktikkan apa yang kau tahu wahai diri. Andai tak mampu buat semua, janganlah tinggalkan semua. Biarkan sedikit asalkan berterusan.

:: Bersihkan Fikiranmu
Bacalah dengan nama TuhanMu. Dengan ilmu, barulah kita semakin mengenaliNya. Apa yang dibaca akan mempengaruhi fikiran. Andai yang dibaca itu tidak mendatangkan faedah, rosaklah pemikiran.

::Realisasikannya
Usah hanya tahu tapi tidak melakukannya. Ya.. itulah kelemahanku yang harus diperbaiki. Muhasabah diri setiap hari. Kita tidak pernah dapat lari dari melakukan dosa. Ku harus akui.. aku hanya insan biasa.

Ya Allah.. kuatkan hambaMu ini. Walaupun ku sering patah dalam mujahadah ini, namun hatiku tetap dambakan redhaMu.

Wallahua’lam.

Embun Hidayah

Setitis embunan yang jernih
Di hujung dedaunan bersih
Kemilau warnanya bagaikan
Permata disuluh cahaya

Dinginnya menyentuh di jiwa
Menyingkap jendela hati
Itulah setitis hidayah
Membasahi gersang di jiwa

Nurnya bagaikan sinar mentari di hening pagi
Lembut dan dinginnya menusuk ke sanubari
Ia seumpama lentera di kamar diri
Terungkai segala kusut tertegak kebenaran

Tanpa mengira bangsa warna dan rupa
Tertebar petunjuk ke seluruh buana
Islamlah manusia walau di mana jua
Di timur barat selatan dan utara

Hitam putih dan kuning Islam bersaudara
Yang menyatukan semua hanya embun hidayah
Damai seluruh dunia
Aman alam semesta
Embun hidayah anugerah ALLAH

Hidayah hak milik Tuhan
Kurnia tiada tara
Meniti menerusi lidah RasululLah
Zaman terus beralih
Musim terus berubah
Embun hidayah akan terus melimpah
Embun hidayah anugerah ALLAH

Lagu: Putra Aiman
Lirik : Pahrol Md. Joui

Embun Hidayah - Hijjaz

Tuesday, May 25, 2010

Kisah Aku, Kau dan Mereka..

Takdir Cinta

Ku tutup mataku
dari semua pandanganku
bila melihat matamu
ku yakin ada cinta
ketulusan hati yang mengulir lembut

Penguasa alam tolonglah pegangi aku
biar ku tak jatuh pada sumur dosa
yang terkutuk dan menyesatkan cintaku

andaikan ku bisa lebih adil
pada cinta kau dan dia
aku bukan nabi yang bisa sempurna
ku tak luput dari dosa

biarlah ku hidup seperti ini
takdir cinta harus begini
ada kau dan dia bukan ku yang mahu
Oh Tuhan tuntunlah hatiku

Mungkin ada yang cuba disampaikan oleh si 'dia'. Saat itu, sungguh beriya-iya 'dia' meminta ku mendengar lagu ini. Ku tahu... bukan hanya diri ini.. tapi mereka juga. Beberapa kali saya mendengar lagu ini ketika itu. Dan hari ini.. saya mendengar lagi...

Dalam persahabatan ini.. mungkin mudah untuk mulut berbicara tentang UKHUWAH. Tapi untuk mengaplikasikannya agak sukar. Saya sendiri kecundang. Bukan mudah untuk menjaga hati semua orang , dan agak letih bagi insan yang cuba mempertahankannya. Maafkan diri ini kerna sering mengabaikan hak kalian...

andaikan ku bisa lebih adil pada cinta kau dan dia..

Dalam dunia ni, kita boleh temui manusia dengan pelbagai ragam. Termasuk diriku yang sememangnya banyak kerenah dan suka membuat hal. Kadang-kadang sibuk menjaga hati sendiri sehingga ku terlupa banyak hati terluka. Ku hanya tahu memandang salah insan lain, sedangkan kamu dan mereka cuba bersabar denganku.. Mungkin bukan hanya kalian, tetapi insan-insan lain juga sering terluka dengan tingkahku. Adakala.. hatiku terdetik, adakah keranaNya ku mencintai kalian. Maafkan diriku ini.. ku hanya manusia biasa..

Ya Allah.. berilah ku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu.. dan ku mohon KAU satukanlah hati-hati kami dalam mencari redha-Mu.

Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah jika semuanya kerana Allah..

Wallahua'lam

Saturday, May 22, 2010

Jangan Biarkan Diri Anda Terus DIBULI…


Cam pelik pulak tajuk ni. Mungkin akan ada yang terasa. Tapi ni bukan nak cakap pasal kes anda atau saya yang suka membuli insan-insan lemah. Hakikatnya kitalah insan-insan lemah yang selalu dibuli oleh syaitan dan hawa nafsu. Seringkali kita tertewas. Seringkali kita ‘dibuli’. Kadangkala seperti ‘meredhai’ diri dibuli. Tanpa sedar, kita telah menzalimi diri kita sendiri.

Namun saya, anda dan kita tetap manusia biasa. Hati kita goyah jua dijalan mujahadah. Hati pasti merintih apabila pedih. Jiwa pasti terdera bila berduka. Di jalan mujahadah ini, hamba yang inginkan keredhaan Allah terpaksa berperang dengan musuh yang ada dalam diri sendiri iaitu syaitan dan hawa nafsu. Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu dilakukan. Kedua, perkara yang suka dilakukan. Dan menjadi sunnatullah yang kedua-dua perkara itu saling bertindak bertentangan.

Kadangkala kita menanam azam untuk merubah diri. Cuba menyuntik semangat agar kuat melawan semua ‘pembuli’ itu. Namun seringkali tersungkur , terjatuh. Membiarkan diri hanyut bersama kesenangan sementara. Lupa yang masa terus berjalan meninggalkan kita. Lemahnya diri ini… nak selamatkan diri sendiri dari terus dizalimi pun tak mampu.

Kalau ikutkan rasa, dah semestinya mahu saja kita melakukan semua perkara yang disukai. Tapi , hati yang suci fitrahnya akan menjerit-jerit. Hati kecil yang yang sentiasa bersuara walau cuba dipendam. Andai hati itu diabaikan, ia akan mati. Sama-samalah kita menjaga agar hati kita tidak mati. Awasilah diri dari terus bergelumang dengan dosa. Rasulullah pernah ditanya tentang apakah itu dosa. Dan baginda menjawab, “ Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihatnya.” Mujurlah dosa itu tidak berbau. Kalau tak, tak ada siapa yang sudi mendekati kita..terutamanya diri ku ini yang terlalu banyak melakukan dosa.

Teringat tulisan abi di blognya. Abi ditanya oleh seseorang, "Kalau tiba-tiba abi rasa tak tenang dan gelisah..abi akan buat apa?". Abi menjawab," Istighfar". Dia bertanya lagi,"Sudah beristighfar , tapi hati masih gelisah..kenapa abi?". Abi pun menjawab," Tak cukup banyak.."...Dia menjawab lagi," Oh ..hurm ..okay..dah dapat jawapannya..". " Dosa kita menggunung banyaknya..tapi istighfar kita hanya sekelumit..camne nak dapat ketenangan hati.." satu lagi sms abi hantar sebagai kesimpulan sentuhan ruhiy tadi.

Ya Allah.. seringkali saja diri ini dilanda perasaan tidak tenang. Berapa banyaklah diri ini mengingati-Mu, sedangkan diri ini teramat-amat sangat memerlukan-Mu. Ampunkanlah dosa-dosa kami, Ya Rabbi..

Jangan biarkan diri saya, anda dan kita terus diselubungi dosa dan terus menjadi mangsa buli. Tapi, janganlah pula kita membalas dendam pada hawa nafsu kita kerana ia perlu dididik. Takut-takut ia memberontak. Lebih buruk kesannya nanti..

Jom, kempen jangan biarkan diri dibuli. Nak kempen gak, jangan jadi pembuli.. Sama-samalah kita saling mengingatkan. Moga sentiasa dalam redha-Nya. InsyaAllah..

Wallahua’lam.

Wednesday, May 19, 2010

KENAPA AKU...???

Telah Dijawab..

Kenapa aku sering diuji ?
Firman Allah, mafhumnya :
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut : 2-3)

Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan ?
Firman Allah, mafhumnya :
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sesungguhnya Allah amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah : 216 )

Kenapa aku diuji ujian seberat ini ?
Firman Allah, mafhumnya :
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya”
(Surah Al-Baqarah : 286 )

Bagaimana kan ku hadapi ujian ini ?
Firman Allah, mafhumnya :
“Wahai orang yang beriman. Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan), dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(Surah Ali ‘Imran : 200)

Firman Allah lagi, mafhumnya :
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(Surah Al-Baqarah : 45 )

Apa yang aku boleh dapat daripada semua ini ?
Firman Allah, mafhumnya :
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(Surah At-Taubah : 111 )
Wallahu'alam..

UDARA atau ILMU ?


Seorang lelaki muda pergi menemui seorang lelaki hikmah. “Tuan, ajarkan saya ilmu hikmah”, pintanya.
“Kau benar-benar inginkannya?” tanya ahli hikmah.
“Ya, tuan .”
“Kamu sedia diuji ? ”
“Sedia ”, jawabnya tanpa ragu.
“Baiklah, bawa setempayan air ke hadapanku ”, pinta ahli hikmah.
Setempayan air segera dihadapkan dihadapan ahli hikmah oleh lelaki muda itu.
“Mari ke sini. Jenggukkan kepalamu ke muka tempayan ini. ”
Lelaki muda itu pun merapatkan kepalanya ke mulut tempayan.
Tiba-tiba ahli hikmah itu menekan dan menenggelamkan kepala lelaki itu ke dalam air. Dia meronta-ronta kelemasan. Apabila nampak tidak berdaya, barulah kepalanya dilepaskan. Sebaik menghirup udara, ahli hikmah terus bertanya, “ Apa yang kamu inginkan ? ”
“Saya inginkan ilmu ”
Mendengar jawapan lelaki itu, sekali lagi kepala lelaki itu dibenamkan ke dalam air. Sekali lagi lelaki itu kelemasan. Kali ini lebih teruk sari sebelumnya. Setelah hampir lemas, baru dilepaskan lantas soalan yang sama diajukan.
“ Apakah yang kamu inginkan ?”
“ Saya inginkan ilmu.” Jawab lelaki muda itu. Kali ini dengan keadaan lebih tidak berdaya.
Mendengar jawapan yang sama, ahli hikmah itu membenamkan sekali lagi kepala lelaki itu ke dalam tempayan. Kali ini lebih lama. Lelaki itu meronta-ronta. Kali ini jauh lebih hebat dan dasyat dirasakannya. Setelah hampir nyawa-nyawa ikan, barulah kepalanya dilepaskan.
“ Apakah yang kamu inginkan? ”
“ Udara, udara, udara..! ” katanya hampir kehilangan suara.
“ Sekarang, kamu telah bersedia untuk belajar hikmah daripadaku. Jika kamu inginkan
hikmah seperti kamu inginkan udara, barulah kamu layak mendapatkannya..! ”

Pengajaran :

Keghairahan yang tinggi terhadap ilmu akan menjadikan seseorang itu ghairah untuk belajar. Imam al-Syafi’i pernah menyifatkan dirinya umpama ibu ayam yang kehilangan anaknya. Begitu cinta dan tinggi sekali keinginannya untuk mendapatkan ilmu.

Satu Amanah


Dengan Bismillah ku bermula
Bingkisan hati buatmu teman
Yang dikasihi
Kita bersama dalam satu ikatan

Bermula episod hidup di dunia ini...
Ku harap hanyalah di dunia
Dirahmati dan diredhai
Selamat sejahtera di Syurgawi

Oh Tuhan satukanlah
Hati kami dalam mencintai
Redha atas ujian diberi
Jauhkanlah kami

Dari rakus mengejar duniawi
Hidup mati biarlah untukMu
Harap dunia hanya di tangan
Bukannya di hati ‘tuk dicintai

Kita dicipta sebagai khalifah
Bersama kita hidup untukNya
Kita dicipta di dunia fana
Ada amanah yang tersedia

“Oh Tuhan..Kita laksana bersama
Amanah dariNya demi
Memburu cinta dan harapan”

Tuhan itu harus diutama
Dari segala kepentingan dunia
Bergandingan kita untuk
Memburu cintaNyaOh cintaNya

“Tuhan .. Kau satukanlah hati-hati
Memohon kasihMu oh Tuhan
Dalam mengharap redha
DariMu..”

“Hanya di dunia
Kita harapkan, kita dambakan
Selamat sejahtera, bahagia..”

Satu Amanah - Hijjaz

Tuesday, May 18, 2010

EKSPLORASI MEMBURU HIDAYAH AGAR HIDUP LEBIH TERARAH


Perubahan adalah sunnatullah. Allah menjadikan alam ini dan segala makhluk Allah yang lain dengan satu sifat, iaitu sentiasa berubah. Satu-satunya perkara yang tetap berlaku pada alam ini adalah perubahan. Dalam konteks peribadi, perubahan akan berlaku dalam kehidupan kita, mungkin kerana faktor luaran, mahupun atas pilihan kita sendiri. Yang penting, kesediaan kita untuk berubah, dan kita sendiri yang menjadi agen dan pelaksana perubahan tersebut. Semakin banyak yang tidak difahami, semakin sukarlah kita menerima perubahan tersebut. Tapi realitinya, agak sukar untuk dilaksanakan kn.. Tak mengapa, jom2 sama-sama kita berubah. Jangan menyerah kalah. Hakikatnya, setiap hari kita berubah. Cuma bezanya, sama ada semakin baik atau semakin teruk.

Beberapa hari lepas, saya ada berhubung dengan seorang sahabat saya yang sedang menuntut di luar negara. Berbicara tentang beberapa perkara. Salah satunya tentang perubahan sikap seorang sahabat kami yang kebetulan menuntut satu tempat pengajian dengan saya. Perbezaan watak yang agak ketara. Akhirnya, sahabat saya tadi cuba memberi ruang untuk saya berfikir. Katanya, kadang-kadang kita kekok nak buat sesuatu perkara yang kita tak biasa. Tapi bila dah terlebih biasa, lain pula jadinya. Kita perlu kembali ke pangkal, back to basic. Bermulalah dengan diri sendiri. Cuba kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya. Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk baiki manusia, baiki hatinya. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah seiring dengan perubahan kita. Sama-samalah kita belajar dari sekolah kehidupan. Selalu2 la renovate hati...

Semalam, saya juga “ditembak” oleh seorang lagi sahabat saya. Katanya, cuti-cuti ini banyak perancangan dah dibuat. Misi ni sangat perlu sebagai melangsungkan beberapa tanggungjawab dia sebagai anak, pelajar dan hamba Allah, tambahnya lagi. Dan dia tegaskan yang saya pun ada misi itu dan setiap orang ada, cuma sedar tak sedar je. Hm.. misi apa tu ye.. Saya tahu anda semua tahu misi apa tu..
“Misi Eksplorasi Memburu Hidayah Agar Hidup Lebih Terarah..”

Siapa yang mengharapkan keredhaan manusia, pasti akan kecewa. Nampak gah seketika tetapi akhirnya merundum di telapak kaki manusia yang dipuja-pujanya itu.



Untuk renungan bersama..
Firman Allah yang mafhumnya :
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning dan menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu”.
(Al-Hadid 57 : 20 )
Wallahua'lam..

Sunday, May 16, 2010

Cahaya Hati by Opick

Kisah Cawan..



Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.


Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pe nah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,


"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.



Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'. Jangan lupa bahawa cubaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

Bersangka baiklah dengan Allah..


Wallahu a'lam

Saturday, May 15, 2010

Kerna ku manusia biasa..


Hari ni perasaan marah singgah di hati ni.. Tenang..tenang.. Jangan ikutkan hati. Bahaya..
Ya Allah.. tenangkan hatiku ini.. Cuti ni, saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga tersayang. Mungkin pada pandangan insan lain terutama yang sibuk dengan program-program musim cuti ni, saya tidak memanfaatkan cuti dengan baik, mungkin.. Tapi apakan daya, hasrat untuk turut serta dengan sahabat-sahabat lain tidak kesampaian. Tidak mengapa.. Pasti ada hikmahnya.. Allah lebih mengetahui segalanya yang terbaik untuk hambaNya yang sering lalai ini. Tetiba teringat satu pesanan yang sering kali diingatkan oleh seorang sahabat saya, pandanglah sesuatu tu dengan pandangan basirah (mata hati). Sebagaimana kita melihat laut. Jika hanya melihat permukaan, mungkin kita hanya dapat tengok sampah-sampah yang duk terapung-apung je.. tapi kalau kita cuba selami hingga ke dasar lautan, baru kita jumpa mutiara…

Tadi terbaca status YM seseorang.. “ kernaku manusia biasa..” Saya cuba memahami ayat itu. Ayat ringkas yang membuatkan saya berfikir. Ye..kerana kita manusia biasa. Manusia biasa yang selalu buat silap. Manusia biasa yang selalu membuat dosa tak kira sama ada kita sedar atau tidak. Namun.. jangan disebabkan itu, kita terus dan terus membiarkan diri bergelumang dengan dosa. Allah Maha Pengampun... Sama-sama la kita selalu bertaubat sebelum segala-galanya terlambat. Yang mengharap akan merasakan dirinya sebagai hamba yang serba lemah, kerdil dan dan kekurangan, tiada daya dan kekuatan, kecuali dengan Allah s.w.t. Penyerahan yang total ini menjadikan dirinya benar-benar sebagai “hamba Allah” dengan erti kata yang sebenarnya. Pesan Imam Ghazali, “Akal memikirkan, hati merasakan. Bila keduanya bergabung maka berlakulah proses kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang akhirnya menggerakkan tindakan”.

Kalau rasa diri tak tahu banyak benda, jom sama-sama kita belajar dan terus belajar. Jangan pernah berhenti belajar. Ada kata pepatah kat kampung saya, “When you stop learning, you stop leading”. Apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin. Setiap orang adalah pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin diri sendiri. Leaders are learners.. Bila kita berhenti belajar, kita akan berhenti memimpin. Dan pada ketika itulah, kita akan “dipimpin” oleh orang lain. Ya..makanya.. Jom kita kempen Mari Membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan..

Nak petik gak dari kata-kata Ustaz Hasrizal, setiap kali berasa kosong, ambillah ia sebagai hidayah Allah untuk kita mencari isi. Ketika rasa kosong itu terhenti dan kita gagal mengosongkan diri, bermulalah rentetan kejahilan yang membinasakan diri, walaupun sudah bergelar ilmuwan..


Renung-renungkan dan selamat beramal..
Wallahu a'lam..