Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Tuesday, December 11, 2012

Rujuk yang sohih


"Syeikh, apakah nasihat syeikh untuk kami belajar dan cara belajar ? " Tanya salah seorang pelajar semasa Program di Republik Czech.

"Dapatkan ilmu rujukan yang sohih dan guru untuk membimbing.." Jawab Ustaz Zaharuddin ringkas. 

"Mengapa itu yang menjadi cadangan syeikh ?"

"Pada zaman terlalu banyak sumber pengajian ilmu Islam sama ada dalam bentuk buku, artikel dan penulisan di Internet, ramai mudah tenggelam dalam dunia ilmu yang apabila tidak mampu ditangani dan dihadamkan dengan baik, ia menjadi barah dalam minda sehingga merosakkan sang murid. Manakala guru diperlukan kerana ia menjadi pengimbang dan pembimbing maklumat yang diperolehi, pun begitu jauhilah sentimen dan ketaksuban dengan seorang guru, kerana guru juga masih seorang pelajar dan boleh membuat silap.."

*Petikan buku Jangan Berhenti Berlari - UZAR 

Sunday, December 9, 2012

Fitrah Bertuhan Muncul Ketika Lemas Di Laut

Bismillah


Bertuhan itu fitrah manusia. Cara mengubati aqidah orang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan seperti orang ateis adalah dengan membuang mereka ke laut. Allah sendiri menyebut hal ini dalam Al-Quran.

Kenapa hanya ketika karam di laut dan bukannya ketika kesusahan di daratan ? Ini kerana karam di laut ialah satu situasi bahaya yang sangat ekstrem. Tiada tempat bergantung atau berpijak, di bawah mungkin ada jerung menanti untuk membaham, laungan meminta pertolongan tidak didengari sesiapa, kalau terminum air laut yang masin itu amat memeritkan. Segala-galanya tidak pasti.

Pada saat sebegini hanya Allah sahaja menjadi tempat bergantung. Ikrimah bin Abu Jahal yang keras permusuhannya dengan Rasulullah s.a.w akhirnya memeluk Islam setelah kapalnya karam dan dia hampir lemas dipukul ribut.

Ibn Kathir membawa kisah ini ketika mentafsirkan firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru melainkan Allah. Maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya). Dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Isra’ : 67)

Begitu juga dengan situasi si angkuh Firaun ketika hampir mati kelemasan. Firman Allah, mafhumnya: “Dan kami bawakan Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejarkan oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu) : ‘Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah daripada orang yang berserah diri.” (Yunus: 90)

Alangkah indahnya kalau kita mengharap hanya pada Allah semata-mata dalam semua situasi sebagaimana semasa situasi ekstrem karam di laut. Alangkah eloknya sekiranya situasi di atas dibawa dalam hidup sepanjang hayat. Hanya Allah tempat bergantung.

Wallahu’alam.

Dipetik dari Majalah Al-Ustaz Isu 8
Oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim