Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Friday, December 31, 2010

Perlukan kearifan..

Kisah Zun-Nun Al-Misri

Beberapa waktu yang lalu, di Mesir hidup seorang sufi yang masyhur bernama Zun-Nun. Seorang pemuda mendatanginya dan bertanya : "Tuan, saya belum faham mengapa orang seperti anda mesti berpakaian apa adanya, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman yang ini berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan namun juga untuk tujuan banyak hal lain."

Sang sufi hanya tersenyum, ia lalu melepaskan cincin dari salah satu jarinya, lalu berkata : "Sahabat muda, akan kujawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah, bolehkah kamu menjualnya seharga satu keping emas".

Melihat cincin Zun-Nun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu dan berkata : "Satu keping emas ? Saya tidak yakin cincin ini bisa dijual seharga itu". "Cubalah dulu sahabat muda. Siapa tahu kamu berhasil", jawab Zun-Nun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tak seorang pun berani membeli seharga satu keping emas. Mereka menawarnya hanya satu keping perak.

Tentu saja, pemuda itu tak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia kembali kepada Zun-Nun dan memberitahunya : "Tuan, tak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keping perak".

Sambil tetap tersenyum arif Zun-Nun berkata : "Sekarang pergilah kamu ke tokoh emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik tokoh atau tukang emas di sana. Jangan buka harga. Dengarkan saja, bagaimana ia memberikan penilaian".

Pemuda itu pun pergi ke toko emas yang dimaksud. Ia kembali kepada Zun-Nun dengan raut wajah yang lain. Ia kemudian memberitahu : "Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sesungguhnya dari cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi daripada yang ditawar oleh para pedagang di pasar".

Zun-Nun tersenyum simpul sambil berkata : "Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat ke kedalaman jiwa. Diperlukan kearifan untuk menjenguknya. Dan itu perlu proses dan masa, wahai sahabat mudaku. Kita tak dapat menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas."

Wallahua'lam.

Tuesday, December 28, 2010

Warna Warni Di Sebalik Solat Awal Waktu

Setiap peralihan wakatu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.


WAKTU SUBUH : Pada waktu subuh, alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warnabiru muda atau waktu subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar atau rezeki dan komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat sengaja secara berulang-ulang kali, lama-kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum(jaga daripada tidur).Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu, bermulanya saja azan subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap yang optimum.Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.Jadi mereka yang terlewat subuhnya sebenarnya sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


WAKTU ZUHUR : Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudianwarna kuning menandakan masuknya waktu Zuhur.Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut & hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya secara berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut & hilang sifat cerianya.


WAKTU ASAR : Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar.Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.Rahsia warna oren ialah kreativiti.Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang itu terpisah(tidur).tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.


WAKTU MAGHRIB : Menjelang waktu maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat maghrib dulu) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.Rahsia waktu maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.


WAKTU ISYAK : Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna indigo dan seterusnya memasuki fasa kegelapan.Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur Islam.Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.


Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syari'at solat oleh ALLAH SWT tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa ALLAH SWT mewajibkan solat ke atas hambaNYA atas sifat pengasih dan penyayangNya sebagai pencipta kerana Dia tahu hambaNya ini amat-amat memerlukanNya.

~Video~ Ustz Zahazan

Wallahualam.

Monday, December 27, 2010

Rayuan Hamba

Ku rebahkan keakuan yang terpaksi
Meredakan kekalutan dalam diri
Tuhan ganjarkan upaya
Untukku menyusuri jalanMu
Agar tak tersasar haluan kiblatku
Oh Tuhan

Ku dambakan kasih Mu
Rahmatilah hidupku
Hamparkan cintaMu buatku, oh Tuhan

Ku rindukan sayang Mu
Redhailah diriku
Di situ letaknya syurgaku, oh Tuhan

Hanya Dikau tempatku mengadu
Dengarkanlah sendu rayuku
Tiada aku tanpaMu oh Tuhan
Berkati hidupku di dunia dan akhirat

Siapalah diriku
Dihadapan KudratMu
Insan yang tidak berdaya oh Tuhan

Ku pohonkan dari Mu
Perkenankan doaku
Ampunilah dosa hambaMu oh Tuhan

Hingga sampai waktuku berundur
Kesaksian tetap dijunjung
Hidup mati kernaMu oh Tuhan
Limpahan maghfirah yang amat ku harapkan

Thursday, December 23, 2010

Awaken..

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Wahai orang yang berselimut!.

[2] Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

[3] Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

[4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".a

[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

[7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

[8] Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

[9] Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

[10] Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Wahai Orang Yang Berselimut

Surat ini bernama al-Muzammil, yang bererti orang yang berselimut. Yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Dia adalah Surat yang ke-73 dalam susunan Mushhaf Usmani, terdiri daripada 20 ayat.

Tahajud ialah bangun menyentak, melepaskan selimut.

Satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun mengerjakan ibadat, khususnya solat Tahajud atau solat sunat lain di tengah malam. Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk solat tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan.

Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku bertuhankan Allah. Sesungguhnya, bukan satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi.

Bukan satu perkara mudah untuk berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan bukan mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan.

Dengan kata lain, amalan bangun bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana sehari suntuk bekerja pada siang hari menyebabkan sesetengah orang yang tidur seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejut.

Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah di tengah malam.Iman yang senipis kulit bawang akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimutnya dengan lebih kemas lagi. Sesungguhnya ketika itu adalah masa paling nikmat untuk tidur. Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya. Sekalipun solat Tahajud sekadar sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi nilainya.

Firman Allah s.w.t mafhumnya,

“Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.’

(Surah Al-Israk: 79).

Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya solat Tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi mereka yang biasa, ia menjadi suatu kenikmatan pula. Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan solat Tahajud.

Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:

“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya.

Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”

(Hadis Riwayat: Abu Daud)

Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan yang dilarang.Solat Tahajud satu suruhan Allah dan oleh itu Allah menyayangi mereka yang mengerjakan solat ini. Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan Tahajud di tengah malam.

Sebaliknya, orang yang lemah imannya akan berasa berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak sampai setengah kilogram. Solat Tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding solat sunat lain.

Solat Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah. Amalan solat Tahajud bukan hanya diamalkan umat Nabi Muhammad malah umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah Tahajud bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja.

Saidina Umar Al-Khattab menyatakan fadilat atau kelebihan solat malam dengan berkata mafhumnya:

“Sesiapa mengerjakan solat malam (Tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.

Susahnya untuk bangun… (T.T)

~ video AWAKEN ~

Wallahua’lam..

* To diri ini : Tolong muhasabah diri...


Wednesday, December 22, 2010

Satu tamparan, tiga jawapan.

Seorang Pemuda yang angkuh telah bertanya kepada seorang Alim tentang wujudnya Tuhan.

Pemuda : Anda siapa & bolehkah anda menjawab soalan saya?

Orang Alim : Saya hambaNya,dengan izinNya saya akan menjawab pertanyaan anda,insyaAllah.

Pemuda : Anda yakin? sedangkn profesor & ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.

Orang Alim : Insya Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.

Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan..pertama. kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan wujudTuhan kepada saya.

Kedua, apakah dinamakan takdir??

Ketiga,kalau syaitan diciptakan dari api,kenapa dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api? tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakan Tuhan tidak terfikir sejauh itu?

Tiba-tiba orang Alim tersbut menampar pipi pemuda tadi dengan keras.

Pemuda : (sambil menahan sakit) Kenapa anda marah kepada saya?

Orang Alim : Saya tidak marah.Tamparan itu adalah jawapan saya atas 3 peratanyaan yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

Orang Alim : Bagaiman rasanya tamparan saya?

Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit.

Orang Alim : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada?

Pemuda : Ya!

Orang Alim : Tunjukkan pada saya wujud sakit itu.

Pemuda: Saya tidak boleh.

Orang Alim : Itulah jawapan pertanyaan pertama..kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa melihat wujud-Nya.

Orang Alim : Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda : Tidak.

Orang Alim : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima tamparan dari saya hari ini?

Pemuda : Tidak.

Orang Alim : Itulah yang dinamakan takdir.

Orang Alim : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda?

Pemuda : Kulit.

Orang Alim : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda : Kulit.

Orang Alim : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Sakit.

Orang Alim : Walaupun syaitan dijadikan api & neraka juga terbuat dari api,jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.

Wallahua'lam..

Tuesday, December 21, 2010

Tiada U turn lagi..

Alhamdulillah.. masih lagi diberi peluang menikmati hari ini. Seakan rasanya masa terlalu pantas berlalu meninggalkan diri ini. Kadang dalam kealpaan, terlupa diri sudah lebih 21 tahun diberi peluang. Peluang yang hanya ditawarkan sekali. Dan tiada lagi yang kedua untuk kembali menebus segalanya. Hanya one way.. tiada U turn lagi setelah nyawa ditarik..

Masih bernyalakah roh hijrah dalam diri kita? Adakah makin malap dek kerana semakin menjauh dari tanggal 1 Muharram?

Baiah al-Aqabah yang kedua yang termetrai antara Rasulullah s.a.w dan beberapa orang Ansar pada musim haji ke tahun ke- 13 kenabian.

“Berbaiahlah kalian semua untuk sentiasa:

1.Taat kepadaku dalam keadaan rajin ataupun malas.

2.Mengeluarkan belanja (demi Islam) dalam keadaan susah dan senang.

3.Melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

4.Tegak pertahankan agama Allah dan tidak memperdulikan celaan para pencela.

5.Membantuku apabila aku tiba di Yathrib(Madinah).

6.Menjaga dan mempertahankanku sebagaimana kamu semua mempertahankan diri kamu sendiri, para isteri dan anak-anakmu.”

Maka setiap jiwa yang rindukan Rasulullah s.a.w sewajarnya meneliti setiap satu persatu butir-butir perjanjian al-Aqabah kedua ini dengan penuh mendalam, menghayati yang tersurat dan tersirat, lantas cuba melaksanakannya.

Moga-moga kita menjadi ummah yang layak menumpang syafaat Baginda s.a.w di akhirat kelak..Amiin..

~Taburkan maafmu pada setiap malam saat sebelum mata terlelap buat siapa jua walaupun mereka tidak pernah memohon maaf darimu… ~

Dan saya tiba-tiba tertarik dengan video maher zain yang ni.. The Choosen One^^

Wallahua’lam.

*kitab Musnad Imam Ahmad (no 13934-sanad Hassan)

Friday, December 17, 2010

Apa yang paling... ??

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya :

Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Orang tua '
Murid 2 = ' Guru '
Murid 3 = ' Teman '
Murid 4 = ' Kaum kerabat '
Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Negeri Cina '
Murid 2 = ' Bulan '
Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang 2 '
Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini,hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'.

Imam Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?'
Murid 1 = ' Gunung '
Murid 2 = ' Matahari '
Murid 3 = ' Bumi '
Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.'


' Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Kapas'
Murid 2 = ' Angin '
Murid 3 = ' Debu '
Murid 4 = ' Daun-daun'
Imam Ghazali = ' Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '

IMAM GHAZALI: ' Apa yang paling berat didunia ? '
Murid 1 = ' Baja '
Murid 2 = ' Besi '
Murid 3 = ' Gajah '
Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini ? '
Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang '
Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Wallahua'lam.

Thursday, December 16, 2010

Dinginnya mendamaikan kalbu

Selama ini ada sesuatu perasaaan yang mencengkam diri. Satu perasaan yang telah lama saya sedar tapi cuba saya nafikan kehadirannya. Ya..saya nafikan kehadirannya.

Semalam.. seorang sahabat telah menyedarkanku.

Dia telah berjaya menyelongkar sesuatu dalam diri ini. Rahsia diri.. Merungkai persoalan yang terbuku lama di sudut hati.

Sebelum ini, seseorang telah menyedarkan yang saya ini seorang yang tak kenal diri. Semalam ada seseorang menyedarkan bahawa saya ini seorang yang penakut.

Penakut… Penakut untuk menerima sesuatu kenyataan. Saya tergelak juga pada mulanya. Bila diimbas kembali, saya dapat mengesan banyak peristiwa dalam hidup saya yang menyatakan saya memang seorang penakut walaupun riak wajah saya mempamerkan wajah ‘cool’. Perasan…

Sahabat saya ada menegur tentang perilaku saya yang suka bersendiri.

Saya akui perkara itu. Entahla.. terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata mahupun penulisan. Kadang-kadang, saya berperang dengan diri sendiri. Bila ada yang menyatakan, mengapa sukar untuk fahami saya, saya hanya mampu tersenyum. Pada masa yang sama, hati menjerit, ‘aku pun tak faham dengan diri sendiri…!!!! ’. Adakah insan julai memang sukar untuk difahami ?

Mungkin terlalu ego. Ego untuk menyatakan kasih. Sekali lagi saya menggelakkan diri sendiri. Tapi itulah hakikatnya. Peristiwa lalu mengajar saya untuk tidak mudah menyatakan kasih. Kaku dalam mempamerkan sayang. Bukan apa, saya takut untuk dikecewakan. Peristiwa lalu juga membuatkan saya takut tindakan saya hanya mengecewakan insan lain.

Saya sedar.. semua tindakan saya itu hanya membuatkan insan-insan lain tertekan dengan cara saya. Kadangnya menimbulkan tanda tanya dalam diri mereka, mengapa terlalu sukar untuk ku fahami dia.

Tadi ketika saya sedang membaca buku Nota Fikir Untuk Zikir, entah mengapa saya terhenti lama di satu tajuk. ::Jangan pulang sebelum berangkat.::

Sedikit takut penting untuk kita mendapatkan kejayaan. Jadi, sedikit takut amat perlu, namun jika berlebihan hanya akan mengundang kerosakan. Terlalu takut membuatkan kita menjadi lemah dan putus asa.

Selalu saja saya ajukan soalan pada diri sendiri, mengapa harus takut pada sesuatu yang belum tentu terjadi ? Mana keyakinan saya pada janji-janjiNya ? Astaghfirullahal a’zim..

Ingatlah wahai diri,

Segala keraguan dan ketakutan itu hanya akan membantutkan usaha-usahamu saja. Bersedialah untuk menerima apa saja yang terburuk.

~Zikrullah… dinginnya mendamaikan jiwa yang kian diselubungi panasnya menuruti nafsu~

Wallahua’lam.


Sedingin salju..

Alhamdulillah.. masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas dan menikmati segalanya. Masih lagi diberi kesempatan bertemu tahun baru.. Masih lagi diberi nikmat usia.

Allahu Rabbi..
Ku mohon moga-moga kami tergolong dalam golongan hambaMu yang bersyukur. Amiin...

Maaf

Firman Allah yang mafhumnya,
“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”
Asy-Syu’ara ayat 43.

Maaf ?

Entah tiba-tiba terfikir pasal tu. Mungkin sebab terperasan perkataan itu pada status YM seorang sahabat tadi. Perasan jela. Tak berkesempatan nak tegur dia. Takut menggangu.

Dan saya tak tahu nak taip apa sebenarnya ni.. Terkaku seketika..

Sekadar nak promote buku Sesejuk Maaf di Kalbu je kot nampaknya. Saya pun belum baca lagi buku ni. Kalau jumpa di kedai buku, pegang dan sekadar belek-belek je.

Ni saya jumpa sinopsis buku ni. Sinopsis. Manalah tau anda berminat.. Moga-moga bermanfaat.

~Maaf. Ku juga manusia biasa yang banyak kekurangan.. ~

Wallahua'lam.

Tuesday, December 14, 2010

Pasti ada kemudahan dariNya.

1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?

2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.

3. Yang telah memberatkan belakangmu.

4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).

5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan-kegiatan hidupmu, maka usahakanlah kegiatan yang lain pula.

8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.


Pujukan buat diri

Dalam surah ini terdapat naungan kasih mesra dan semangat bermunajat. Dalam surah ini juga disebut perkara yang membuktikan Inayah dan perhatian Ilahi terhadap RasuI-Nya, juga disebut berita gembira yang menjamin kesenangan dan kelapangan, dan disampaikan bimbingan untuk mencapai rahsia kesenangan dan tali hubungan yang kukuh dengan Allah swt.

Ayat-ayat ini menyarankan bahawa jiwa Rasulullah s.a.w. sedang mengalami kesulitan dan kesusahan dalam usaha menyebarkan dakwah yang ditugaskan kepadanya dan dalam menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan dan tipu daya di jalan dakwah. Dadanya penuh sebak dengan kerungsingan-kerungsingan memikul tugas da'wah yang berat itu dan merasa betapa perlunya kepada pertolongan, bantuan dan bekalan semangat daripada Allah.

Ingatlah wahai diri…

Jangan pernah putus asa dengan rahmat-Nya.

Semuanya bukti kasihnya DIA.

Kesukaran dan kesusahan tidak sunyi dari kesenangan dan kemudahan yang akan menemanimu di mana-mana sahaja. Tumpukan seluruh perhatian dan kecintaan kepada Tuhanmu semata-mata.

InsyaAllah..

Wallahua’lam.


Monday, December 13, 2010

si rama-rama

Kisah kupu-kupu

Kisah ini adalah mengenai seorang saintis yang begitu asyik memerhatikan kepompong. Didapatinya, si anak kupu- kupu nih susah payah bergelut untuk keluar dari kepompongnya. Atas rasa kasihan, si saintis tadi pun memotong bucu kepompong untuk memudahkan anak kupu kupu tadi keluar.

Maka, anak kupu-kupu itu pun merangkak keluar. Kelihatan kepaknya kecut dan badannya kecil. Saintis tersebut menunggu dengan harapan kepak anak kupu-kupu tersebut akan mengembang dan badannya akan membesar,tetapi sangkaannya meleset sama sekali. Kupu-kupu tersebut telah menjadi cacat seumur hidup dah tidak mampu terbang di udara seperti kupu-kupu yang lain.

Apa yang tidak diketahui saintis tersebut, pergelutan bagi kupu-kupu itu adalah satu perencanaan Allah s.w.t agar cecair di dalam badannya mengalir ke seluruh kepak, lantas mengembangkan kepaknya dan memperkukuhkan binaannya.

Begitu juga hidup kita,kekadang pergelutan,perjuangan dan usaha gigih diperlukan agar kita berjaya dan kuat dalam menempuh kehidupan. Sekiranya Allah S.W.T memberikan kehidupan tanpa perjuangan, pergelutan, dugaan dan cabaran, nescaya setiap kita akan gagal dalam kehidupannya. Kita akan menjadi cacat seperti kupu-kupu tersebut...

Subhanallah...

Jangan biarkan sayapnya cedera

Dalam kelemahan, ada semangat baru cuba dinyalakan. Adakah perasaan ‘aku tidak layak’ masih boleh terus dilayan? Ku kelelahan sendirian melayan persoalan sekeping hati yang mendambakan jawapan.

Hidup tidak selalunya indah.

Ya.. itu adalah penilaian bagi pandangan manusia yang sentiasa berharapkan kesenangan. Sedangkan segala takdirNya adalah yang terindah dan terbaik untuk hambaNya.

“Setuju atau tidak jika saya katakan awak seorang yang tidak mengenal diri..”

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini. Ku terdiam dan terkaku. Rasanya seperti tembus lantai ku tenung. Rasa bersalah meresapi keseluruh tubuh.

“Barang siapa kenal diri maka kenallah akan Tuhannya. Jadi, orang yang tidak kenal diri seperti awak ni, macam mana ?” Bertalu soalan dihambur.

Malu..

Bukan hanya pada semua mata yang memerhati ketika itu, tapi ku malu pada diri sendiri. Pada DIA apatah lagi..

Ya.. Rama-rama tidak sehebat garuda…..


Tidak perlu dikau menjadi garuda,risau kelak hilangnya sifat kelembutan si rama-rama,

Tidak perlu dikau terbang tinggi,risau kelak tidak kelihatan daratan untuk beristirehat,

Maka,

Kekallah dirimu umpama si rama-rama,

Yang hadirnya mampu menyejukkan mata yang memandang,

Yang terbangnya sentiasa mencari keredhaan Sang Pencipta..

Allah tidak memandang hasil dari usahamu,

Tapi Dia memandang usahamu untuk mendapatkan hasil untukNya..

Yakinlah dengan janjiNya..

Berilah peringatan,

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman..

Bila dirimu terlupa,jangan biarkan selama-lamanya terlupa,

Kembalilah semula menjadi si rama-rama yang merendah diri,

Moga cukuplah Allah untukmu,

Jangan terlalu berharap pada manusia..


Syukran buat semua yang sudi selalu mengingatkan.

Wallahua’lam.

Saturday, December 4, 2010

Maal Hijrah..


DOA AKHIR TAHUN

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


DOA AWAL TAHUN

Maksudnya :

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

sama-sama kita berhijrah kepada yang lebih baik..insyaAllah.. mulakan hijrah dengan niat yang pasti..

Wallahua'lam..