Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Thursday, January 13, 2011

Tak bisa berulang

Semalam, setelah habis kelas jam 10 malam, terus masuk meeting. Semester ini ada beberapa kelas pada waktu malam.

Beberapa hari ini agak kelam kabut dengan beberapa perkara. Syukur.. Alhamdulillah dipermudahkan.

“Dai’e tak ada masa untuk berpangku tangan”, kata seorang sahabat mengingatkan ketika kami sedang berbicara berdua semalam.

“Di fikirannya sentiasa berfikir dan berfikir tentang permasalahan ummah.” Tambah dia lagi. Saya semakin memberi tumpuan kepada apa yang disampaikan.

“Kadang kala kita tak perasan yang kita ni perasan hebat sampai memandang rendah pada insan lain.”

“Jadi nak pandang macam mana ?” Tanya saya agar dia meneruskan bicara.

“Janganlah anggap insan lain yang kurang faham itu musuh, sebaliknya mereka adalah mad’u kita. Ingat tu, tanggungjawab kita. Dan tanggungjawab itu tidak akan terlaksana hanya dengan memandang tapi perlunya tindakan.”

“Bertindak pun perlulah berterusan dan bukan bermusim. Manusia juga cepat bosan bila kita asyik berbicara perkara yang sama. Jadi, perlulah divariasikan cara penyampaian. Cara penyampaian banyak dan tidak terhad hanya pada kata-kata. Kenalah fikir macam mana…”

Demi Masa

Selalu kita membaca surah Al-‘Asr. Paling kurang, apabila di hujung majlis, kita ada membaca surah tersebut walaupun ada yang tidak faham mengapa mereka membacanya. Asas makna al-’asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah.

Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat sepertimana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang mafhumnya,

“Dan Kami menurunkan dari awan (mu'siraat) , air hujan yang mencurah-curah.”

Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu ‘memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.

Selain itu, Allah menyatakan setelah beriman dan beramal soleh, ia tidak berhenti di situ sahaja. Perlu ada nasihat atas dasar kebenaran dan kesabaran kerana dengan kaedah ini sahajalah, kita akan mampu untuk terus beriman dan beramal. Jika tidak, ia akan mendatangkan kelesuan dan keletihan seterusnya kita gugur dalam lapangan iman amal. Marilah kita sama-sama memerhati makna al-asr yang sebenar-benarnya. Memang amal perlu diusahakan. Ia tidak sepertimana cita-cita kosong. Amal perlu diberi satu tujahan untuk menjadi realiti. Jangan lagi kita menanti dan menunggu, tetapi tujahkan diri kita agar mampu beramal dengan sebenarnya. InsyaAllah.

Jom check balik kualiti masa kita. Masa yang telah berlalu tidak akan bisa diulang kembali... Manfaatkan masa = manfaatkan umur.

Wallahua'lam

No comments: