Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Friday, November 26, 2010

Yang tak terlaksana

Hari ini.

Cepat sungguh masa berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar, pusingan hari telah lengkap menjadi seminggu. Syukur. Masih lagi diberi kesempatan bertemu kembali dengan Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari.

Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Rasulullah s.a.w ada bersabda yang mafhumnya:

"Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Padanya Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya juga dimasukkan ke Syurga, dan padanya juga dikeluarkan. Dan tidak terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat." [HR Abu hurairah, 5 perawi kecuali Bukhari]

Mengenai 'waktu mustajab' untuk berdoa, Rasulullah s.a.w ada bersabda, Malaikat Jibrail r.a. telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih.

"Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik", kata Malikat Jibrail r.a.

"Titik apakah ini?", tanya Rasulullah SAW kepada malaikat.

"Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah Ta'ala pada saat itu, nescaya Allah SWT memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari", jawab malaikat itu lagi.

Dalam sebuah hadith lain dijelaskan Rasulullah SAW ada bersabda yang mafhumnya,

"Barang siapa membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan antara dua Jumaat."

Yang tak terlaksana

Langkah ku terkaku seketika tatkala melangkah masuk ke surau Al-Irfan. Teruja melihat wajah-wajah bakal pucuk pimpinan baru Jawatankuasa Surau Al-Irfan, Pusat Islam UMT sesi 2010/2011. Terasa hangatnya semangat mereka.

Ucapan pembuka oleh bakal mantan Pengerusi memulakan majlis. Diikuti dengan pengumuman nama pucuk pimpinan baru. Ketika itu, ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan menyelubungi diri. Bukan kerna gembira tatkala melepaskan tanggungjawab memegang jawatan, tapi gembira kerna ada yang sudi menyambung tanggungjawab kami untuk sesi seterusnya. InsyaAllah, kami sentiasa ada untuk sama-sama kalian kerna tanggungjawab kami masih belum berakhir selagi kami masih disini.

Saya amati wajah mereka satu persatu, ada semangat baru seakan-akan meresap masuk ke dalam diri. Lama saya termenung memerhatikan mereka. Lamunan terhenti tatkala diusik oleh seorang sahabat. Saya hanya menghadiahkan senyum. Segan sendiri bila ada yang menegur. Pada sahabat pimpinan baru, sentiasalah refresh niat dan moga kalian istiqamah dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Teruslah bersemangat dalam melontar idea dan melaksanakan segalanya dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Sedih. Mengenangkan kembali tatkala diri yang hina ini memikul tanggungjawab dan amanah itu sebelum ini. Lemah dan lesu. Seakan-akan tidak bermaya.

Malu denganNya. Malu dengan diri sendiri dan malu dengan sahabat-sahabat yang banyak berkorban dan sentiasa bersemangat dalam melaksanakan amanah. Bila diri banyak memberi alasan dari melaksana.

Pada semua sahabat perjuangan, terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian kalian untuk segalanya. Banyak yang saya pelajari melalui kalian. Terima kasih sekali lagi. Moga Allah membalas setiap segalanya dengan sebaik-baik balasan. Amiin..

…. Ku biarkan sahaja hatiku berlagu…..

Ya, siapa yang lebih tahu, dari Yang Maha Mengetahui..

Hanya Dia.

Wallahua’lam.

No comments: