Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Monday, March 12, 2012

Mendahului

Bismillah

Orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah) daripada Muhajirin dan Ansar dan orang yang menurut mereka kepada kebaikan, Allah redha kepada mereka dan mereka pula redha kepadaNya, serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itu adalah kemenangan yang besar.

(At-Taubah:100)



Pada kepingan mata wang perjuangan Islam, Muhajirin dan Ansar mencetak peranan yang agung pada sisi masing-masing. Kedua-dua sisi ditempa dengan palu godam kesulitan, kenestapaan, rasa sakit, dan air mata lalu disapa dengan kerelaan dan cinta.

Terperanjat kota Qadisiyah menyaksikan pasukan Muhajirin dan Ansar menyeberangi sungai yang membatasi mereka dengan kem pasukan Persia. Bangsa Arab yang 'tidak mengenal air' ini menjadi begitu berani, saling bergandingan tangan, saling merangkul membelah Eufrat yang deras.

Ceritanya belum selesai, ada yang lebih mengejutkan. Rombongan besar itu tiba-tiba berhenti di tengah arus yang deras dan semuanya membongkok sambil meraba-raba ke dalam riak. "Bekas airku. Bekas airku jatuh", seru salah seorang anggota pasukan orang Islam. Hal ini membuatkan puluhan ribu tangan mengaduk-aduk Eufrat seketika mencarinya.

Panglima Persia dan pasukannya yang tegang menanti di seberang dengan pedang terhunus, tercekik tenggoroknya. Seluruh pasukan mengaduk-aduk Sungai Eufrat hanya kerana bekas air? "Lalu bagaimana apabila salah seorang daripada mereka terbunuh disebabkan kita?" serunya. 

Ya, mereka tidak pernah mengerti ukhuwwah sebelum merasainya. Apabila pedang menebas ahli pasukan Islam, orang yang kena pedang tidak berteriak kerana mereka hanya merasakan cubitan yang menghantarnya menuju keredhaan yang empunya segala. Justeru, yang berteriak adalah saudara seiman yang berada di sampingannya. "Aaahh..!" melengking teriakkannya. "Saudaraku, engkau mendahuluiku ke syurga. Engkau mendahuluiku ke syurga.." 

:: Petikan Biar Bidadari Mencemburuimu - Salim A.Fillah ::
---

Luar biasa. Semuanya adalah tiupan lembut nafas cinta.

Wallahua'lam.
.

No comments: