Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Monday, May 2, 2011

PELAJARAN DARIPADA SERBUK KULIT ROTI

Ayam sudah siap terhidang.

Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

“Fatih, Islam, Hassan, Faruk, Osman, marilah makan !”, Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan masing-masing.

Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa-sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk di makan. Tidak ada langsung sisa makanan yang terbuang.

“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat.. berkat..!” Saya memuji Islam.

“Betul Harizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untukNya menurunkan barakah”, kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakana itu benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadis Nabi saw:

Daripada Jabir, beliau mendengar Nabi saw bersabda yang mafhumnya :

“Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah dijilat (jari-jari)nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah”.

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berguna. Pak cik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar.

Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar jangan disangka segala-galanya.

Petikan dari buku Secangkir Teh Pengubat Letih.

Hasrizal Abdul Jamil

“Güneşte yanmayan gőlgenin kıymetini bilmez”

Orang yang tdiak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun teduhan

(Peribahasa Turki)

Wallahua’lam.

2 comments:

SuFi said...

salam..nice!

umat Muhammad said...

alhamdulillah, best..=)