Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Wednesday, November 17, 2010

Berkorban vs Terkorban

Selamat Hari Raya Eidul Adha ataupun Raya Korban. Tak pun Raya Haji... bersama-samalah kita melaungkan kalam kebesaran Allah swt dengan kita sama-sama melafazkan kalimah takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran serta keinsafan.

Sambutlah Eidul Adha dengan udhiyyah. Udhiyyah tu maksudnya amalan menghampirkan diri dengan Allah dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau, unta ) pada 10 zulhijjah atau 3 hari selepasnya.

Dalam pensyariatan ibadah udhiyyah, maqasidnya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan bersyukur atas nikmatNya. Allah swt telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada hambaNya. Semuanya mewajibkan kita bersyukur kepada Allah swt.

Astaghfirullah… betapa lalainya hambaMu ini dari mensyukuri nikmatMu, Ya Rabbi..

Mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua agar tergolong dalam golongan hambaNya yang bersyukur.

Korban

Korban yang pertama dilakukan di atas muka bumi adalah sebagaimana yang tercatat kisahnya dalam Al-Quran (5: 27-30) . Mesti anda yang membaca lagi tahu dari saya kan..

Seterusnya pengorbanan seorang ayah yang bernama Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah swt untuk menyembelih anaknya. (37: 99-113).

Nabi Ibrahim telah membuktikan kecintaannya kepada Allah swt. Cintanya kepada Ismail begitu mendalam tapi kecintaannya kepadaNya mengatasi segalanya.

Kita ??

Moga kita benar-benar “menyembelih” kecintaan kepada dunia.

Menyembelih Kecintaan Kepada Dunia

Nafsu, Musuh yang dicintai. Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sangat kita sukai. Apabila sesuatu itu sangat kita cintai, kita akan menjadi buta lalu kejahatan dilihat baik.. Malah, kita akan menjadi hamba kepada yang kita cintai.

Firman Allah yang mafhumnya,

“Tidakkah kamu melihat bagaimana ada manusia yang mengambil hawa nafsunya sebagai Tuhan.” (45:23)

Menentang nafsu bermakna kita seolah-olah menetang diri sendiri. Sangat susah. Yela.. orang menentang kita pun kita dah bising. Apatah lagi kita yang menentang diri sendiri.

Moga-moga Eidul Adha kali ini kita jadikan titik permulaan untuk menyembelih kecintaan kita kepada dunia yang sementara ini.

Berkorbanlah sebelum kita semua terkorban.

Wahai diri,

Kuatlah…

Bertahanlah…

Dengarlah peringatan dari Allah ini sebagai motivasi.

Firman Allah yang mafhumnya,

“Dan adapun orang yang takutkan kepada kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya.” (79: 40-41)

Ya Allah, bantulah kami mengingatiMu, bantulah kami mensyukuri nikmatMu dan bantulah kami untuk memperbaiki ibadah kepadaMu…

Amiin…

Kullu 'am wa antum bi khair.

Wallahu a’lam