Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Tuesday, December 27, 2011

Cas bateri bersama Ustaz Shukri

Bismillah.

Alhamdulillah.. masih diberi peluang untuk bernafas lagi. Moga kita tergolong dalam golongan hambaNya yang bersyukur.. Allahuma amiin.. 

Alhamdulillah.. hari ni berkesempatan ke Program Solat Hajat Perdana. Subhanallah.. ramainya orang. Terasa seperti hari pertama terawih.. 

Penceramah jemputan kali ni, Ustaz Shukri Yusoff. Akhirnya berkesempatan dengar perkongsian ustaz secara live. Dulu mak selalu tertukar-tukar Ustaz Shukri dengan Ustaz Zawawi.. sebab mak kata muka mereka hampir sama. Tapi mak lebih suka gaya penyampaian Ustaz Zawawi. Saya masih lagi akan kata, Ustaz ****** lagi best. Sampai mak pun naik tension saya akan 'memperkenalkan' Ustaz ****** setiap kali buka IKIM yang ada slot Ustaz ******. 

Best sangat perkongsian dari beliau.. Walaupun banyak je kata-kata 'pedas'.. *Siapa makan cili, akan terasa pedas..

Pertama sekali mestilah sentuh soal niat.. Sentiasa kena refresh niat.. kena selalu bertanya kenapa aku berada di sini.. Allah bukan 'saja-saja' letak aku kat sini..

Ustaz berkongsi juga tentang  satu kisah di zaman Rasulullah s.a.w.  Ada seorang pemuda, di saat kematiannya, beliau menyebut :

"Alangkah baik kalau banyak, alangkah baik kalau baru dan alangkah baik kalau semua sekali"

Rupa-rupanya pemuda itu dilihatkan kebaikannya di waktu hidupnya dahulu.

Saat dia membantu orang buta ke masjid, "alangkah baik kalau banyak" amalan kebaikan seperti itu dilakukan.

Saat dia memberi baju sejuk yang lama kepada orang tua yang dalam kesejukan, tetapi baju sejuk yang baru dia pakai, "alangkah baik kalau baru"

Saat dia memberi separuh dari makanannya tatkala datang peminta sedekah meminta makanannya, "alangkah baik kalau semua."


Allahu Allah..

Bestnya.. 

Selain tu, Ustaz ada sentuh tentang IQ, EQ dan SQ. Kita susah nak berjaya kalau hanya tinggi IQ sahaja. EQ (Emotional Quotient) juga memainkan peranan yang penting. EQ ni mungkin boleh dikaitkan dengan hubungan sesama manusia. Bagaimana kita menguruskan emosi kita dan berhubung dengan orang lain secara baik. Akhlak yang baik. Manakala SQ (Spiritual Quotient) ni lebih pada hubungan kita dengan Allah. 

Bab penggunaan bahasa ni sekali lagi terkena hidung sendiri. Adeh.. huhu.. "Berkatalah dengan perkataan yang baik.." Kadang-kadang saya ni suka berkata ikut suka. Penggunaan bahasa ikut suka.. huhu.. Bagaimana nak tunjuk contoh yang baik.. Kadang-kadang orang menilai kita melalui apa yang kita katakan. 

Ustaz sentuh gak bab maaf dan berlapang dada. Yup.. saya akui, kadang-kadang sangat susah nak maafkan orang. Sebelum tidur, kena muhasabah diri balik. Maafkan kesalahan orang lain. Jangan menyimpan dendam. Dan jangan pernah terfikir untuk berbuat kejahatan pada orang lain.. 

Akhir sekali, Ustaz pesan... ''Istiqamahlah dalam berdoa.. Mintalah dari Allah.." 

InsyaAllah.. Moga-moga kita dapat istiqamah... 

Penyampaian dari Ustaz, Peringatan dariNya.. 

Wallahua'lam.

Sunday, December 25, 2011

Sudu dan garpu

Bismillah.

Sudu dan garpu..
Saling melengkapi.. Masing-masing ada peranan sendiri dalam usaha untuk terus menyumbang.
Ada orang makan hanya menggunakan sudu.
Ada orang makan hanya menggunakan garpu.
Dan ada juga yang hanya menggunakan tangan.
Terpulang.. semua tidak salah. Ikut keadaan..

Seronok berkongsi. Saya guna sudu. Awak guna garpu. Saya bahagia andai awak rasa itu antara yang boleh kita nikmati bersama..

Wallahua’lam. 

Tuesday, December 20, 2011

Mari berbahagia.

Bismillah.

Melihat aib sendiri lebih baik daripada sibuk dengan aib orang lain. 

Dr 'Aid al-Qarni berkata: 
Jika kamu hendak melihat cela yang banyak maka perhatikanlah orang-orang yang suka mencela, sesungguhnya dia mencela manusia dengan celaan yang ada dalam dirinya. 

Dia mengambil aib manusia daripada aib dirinya
Demi Allah tujuan yang dimaksudkan amat dekat

Seorang Arab Badwi mendengar seorang lelaki mencela lelaki lain di hadapan khalayak ramai. Maka orang Arab Badwi itu berkata kepadanya, "Kamu telah menunjukkan aibmu yang banyak akibat banyak menyebut aib orang lain. Sesungguhnya ia sedang menggali sebanyak yang ada pada dirinya." Maka termasuk kebahagiaan seseorang adalah sibuk dengan aib dirinya daripada aib orang lain. 

Jika seseorang itu berakal dan warak,
Dia akan disibukkan oleh aib dan kewarakannya,
Sebagaimana orang sakit akan disibukkan oleh sakitnya,
Daripada kesakitan yang diderita oleh seluruh manusia.

Barangsiapa yang mendedahkan kehinaan manusia maka manusia pun akan mendedahkan kehinaannya. Barangsiapa yang melihat kekurangan dirinya, dia akan buta terhadap kekurangan orang lain. Barang siapa yang melihat aib orang lain dan meredai untuk dirinya maka ini adalah kedungunan. 

Jangan menyingkap keburukan manusia yang mereka tutupi,
Maka Allah akan menyingkap penutup keburukannya,
Sebutlah kebaikan mereka jika kamu menyebutnya,
Jangan menghina seseorang dengan apa yang ada padamu.

''Hari yang tidak memberi manfaat oleh harta benda dan anak pinak. Kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera''
(Mafhum Al-Syu'ara':88-89)

*Petikan mutiara kata buku Himpunan Hadis Modal Insan 2 
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Wallahua'lam.

Sunday, December 18, 2011

Meredah Hujan

Bismillah.

Berhujung minggu di bilik. Menghadap laptop berlama-lama. Menyiapkan apa yang patut.

Petang tadi, berpeluang bersama 'gadis-gadis cantik lagi baik' ke pantai. Berhujan. Asalnya hujan renyai-renyai je. Tapi bila dah nak sampai pantai, lebat dan angin sangat kuat. Aku nampak ombak seakan sangat mengganas menghempas pantai. Gelora ombaknya seakan ditengah lautan. Aku terpana seketika di balik pondok. Mencari-cari ruang mengelak diri dari terlalu basah. Sesekali percikkan hujan terkena mata. Terasa masinnya percikkan air laut yang membasahi muka.

Aku cuba mengamati desiran ombak itu yang sangat taat pada Penciptanya. Bicara dari Tuhan.. Allahu Allah. Subhanallah. 

Dalam hati ini, jujurnya.. Aku sangat sedih melihat apa yang tinggal. 

Tiada lagi pepasir pantai yang indah tempat kami duduk bersama. Tiada lagi pondok, tempat kami berBBQ bersama. Tiada lagi pepohon tempat menahan diri dari panahan sinar mentari. Tiada lagi tempat kenangan aku duduk keseorangan 'bergaduh dengan diri sendiri'... duduk bermain pasir sambil mendengar lagu Pemergianmu.. memerhati kanak-kanak bermain-main di gigi air...

Pasti aku rindu kan semua itu kelak. >.<

---

Melangkah ke bilik yang dilaporkan. Aku diam memerhati, memberi laluan kepada felo berbicara. Lama kelamaan, aku kalah dengan panahan matanya. Bukan takut, cuma malas nak mencari gaduh dengan perkara-perkara sebegitu. Biar selesai dengan cara baik dan mudah. 

''Kerja kita ni memang selalu dibenci orang.." Ringkas bicara Kakak Felo.

Aku tergelak sebenarnya. Betul juga kan. 

Tapi satu perkara yang aku cuba ingat, ''Kerja tu semua bukan bertujuan untuk mencari musuh walaupun hakikatnya ramai yang akan membenci.." 

Moga Allah teguhkan hati-hati kami dijalanNya. 

Amiin.

Wallahua'lam.

*buat-buat tak nampak je ye kepelikan pada post ini.. >.<

Wednesday, December 14, 2011

Itu Ini Begitu Begini

Bismillah

A(Aku) : "Itu......."
Si B      : ".....ini..."
Si C      : "Begitu....."
Si D      : "Begini...."

Itu Ini Begitu Begini
Beza persepsi di sana-sini
Cara dia dan cara mereka
Masing-masing punya citarasa

::Itu Ini Begitu Begini – Mirwana::

Pedas juga lirik lagu tu (Kena tengok keseluruhan)
Yup.. siapa makan cili, dia terasa pedasnya. 

Zhan (Sangkaan)....

Al-Hujurat:12

Al-An'am:116

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang mafhumnya,
“Berhati-hatilah daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan”
(HR Bukhari dan Muslim) 

Sedikit pencerahan dari Dr. Asri… “Bicara Kalbu Saat Aku Keliru




Syaitan tak kata, "Ni jalan aku, mari ikut sini.."
Mohon la moga Allah tunjukkan dan pandu kita ke jalan yang betul.. Jalan yang Allah redha..

Wallahua'lam.

Monday, December 12, 2011

Unblock Me..

Bismillah

Unblock Me. Permainan kegemaran sekarang ni. 'Kopi' di kala mengantuk membuat 'kerja yang entah bila nak siap'.

Mungkin tak bernombor-nombor macam Sudoku.. tapi agak menguji minda juga. Tolak sana. Tolak sini. Taraa.. tiba-tiba je block merah tu dapat meloloskan dirinya dari block-block kayu 'jahat' yang suka mengepung.

Buat otak ni terfikir gak sebenarnya main permainan tu.

Stress.. Tertekan.. bila agak banyak 'moves' yang dilakukan, tapi tak berjaya membantu block merah keluar. Kadang-kadang sampai terfikir, ''Semua langkah yang aku buat, asyik salah je..''

Tapi.. nasib baik boleh 'Restart'.

Senang je nak main kalau kita tahu block mana yang menghalang dan bagaimana nak mengalihkan block tu dari menyibuk di situ.

Begitu juga dengan hidup kita ni kan. Kadang-kadang ujian datang. Terdiam seketika. Takkan nak mengalah. Sikap mudah berputus asa bukan sifat mukmin yang kuat.

Jadi.. apa-apa pun, kembalilah kepada Yang Maha Memiliki.

Hidup ni tak boleh dah nak di 'Restart'. Hari demi hari makin mendekati 'End'. 

Tapi.. kita boleh Refresh niat balik kan.. Bila kita tahu tujuan hidup, InsyaAllah kita akan bersemangat untuk terus melangkah. 

Betul..!

Moga Allah sentiasa ada dalam hati kita dalam setiap hela nafas kita..

Allahu..Allah. 

Wallahua'lam. 


Thursday, December 8, 2011

Cakap yang baik-baik

Bismillah.

Alhamdulillah atas segala nikmatNya yang tidak terhitung. Moga kita tergolong dalam golongan hambaNya yang bersyukur. Dan InsyaAllah moga-moga diberi nikmat Ihsan.. Amiin ya Rabb.

Alhamdulillah.. blok ni dah ada air macam biasa. Walaupun melalui hari-hari yang agak mencabar, tapi Alhamdulillah.. banyak hikmahNya. InsyaAllah.. 

Hari ni sangat jeles sebab tadi terbaca update terbaru seorang sahabat tentang buku terkini yang baru dia habis baca. Walaupun sibuk, sempat je dia habiskan buku-buku dia. Serius.. sangat jeles.. >.<

Semalam 'budak kecik' tu dah mula menghantar lagu-lagu kesukaan dia dalam inbox Facebook. Setelah hampir beberapa bulan senyap. Nampaknya sejak habis PMR, dia mula aktif meng'explore Youtube.. Sangat lama tak jumpa dia. Agak-agak kalau jumpa pun, macam la dia nak cakap kan. Menjeling-jeling sambil main perli-perli. Sangat teringin nak jumpa mereka sekeluarga.

Tadi, terjumpa satu kuliah Ustaz Azhar Idrus. Ada satu ayat tu lebih kurang la maksudnya, ''Kalau nak tengok hati kita ni bersih atau pun kotor macam longkang, tengoklah aktiviti seharian kita termasuklah cara percakapan kita..Kalau kita suka cakap perkara-perkara yang tidak berfaedah, kena check balik la hati kita macam mana.."

Ni, perkongisan dari buku Himpunan Hadis Modal Insan...

Jangan terlalu cepat mengambil keputusan sampai anda selesai mempelajari semua aspeknya. Setelah itu mintalah pilihan kepada Allah dan mensyuaratkan kepada orang-orang yang anda percayai. Jika kemudian anda berjaya memang itulah yang dikehendaki dan jika tidak maka jangan sesekali menyesal.

*Kadang2 tu, sangat takut nak buat sesuatu keputusan... sebab ia turut akan melibatkan orang lain..
(teringat kata-kata seseorang)

Wallahua'lam

Tuesday, December 6, 2011

“Selamat datang wahai para remaja yang baik.”

Bismillah.

Setelah Allah s.w.t. menganugerahkan ganjaran kepada golongan yang dibalakan dengan buta dan juga penyakit kusta, kemudian Allah s.w.t. menyeru kepada para pemuda (remaja) yang berakhlak mulia (muta’akkif). Mereka diseru supaya menghadap Allah s.w.t. bagi menerima anugerah, sebagai ganjaran daripada usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh mengawal diri daripada sebarang pancaroba remaja.

Zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran. Golongan remaja dengan fizikal yang segar-bugar, dan pada usia inilah gelombang syahwat yang sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawalnya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat. Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah s.w.t. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui konsert-konsert hiburan, di mana artis menjadi sanjungan dan ikutan. Kesannya, ia bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, malah ia menjadikan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Tidak cukup dengan itu ada yang dengan mudah menyerahkan maruah diri demi tuntutan nafsu.

Budaya barat yang bersalut kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik termasuk juga video lucah, menjadikan golongan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yang begitu mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah Islam, mendampingkan diri dengan kelompok pejuang Islam. Dengan suasana yang murni itu mereka memiliki daya tahan daripada sebarang ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negera dan pemerintah yang mengabaikan peraturan Allah s.w.t. Pengaruh persekitaran yang lebih menjurus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufiq dan hidayah Allah s.w.t. serta mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang kukuh berpegang dengan amanah Allah s.w.t sahaja yang selamat daripada segala bencana itu. Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta akhlak mulia, adalah golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah s.w.t amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Sebab itulah apabila mereka tiba di Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadiran mereka akan disambut oleh Allah s.w.t. dengan ucapan, “Selamat datang wahai para remaja yang baik.”

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah s.w.t terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal dari daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, sebagai balasannya mereka mendapat keseronokan yang abadi di akhirat.

Setelah Allah s.w.t. mengalu-alukan kedatangan para remaja yang berakhlak mulia itu, para malaikat diperintahkan supaya menempatkan mereka di sebelah kanan. Kepada mereka disediakan sebuah bendera berwarna hijau. Allah s.w.t. menyeru Nabi Yusuf a.s. untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukminun, berakhlak, sabar, lemah-lembut dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf a.s. terpilih menjadi ketua para belia yang baik budi pekerti , kerana baginda adalah seorang nabi yang sangat kacak dan tampan. Ketampanannya menggoda ramai para wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun baginda berjaya mengatasi semua halangan dan godaan.

Ulama’ mufassirin menyifatkan; kecantikan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada manusia di dunia ini, separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf a.s. Dalam al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama ‘Surah Yusuf’, ia menceritakan bukan sahaja mengenai rupa paras Nabi Yusuf a.s. yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf a.s. Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segala godaan dan cubaan alam remaja, mereka bersama-sama baginda di bawah panji-panji hijau di akhirat kelak.

Setelah itu Allah s.w.t. menyeru pula orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterimanya, ataupun kerana pertolongannya semasa dia mendapat kesusahan. Namun hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru itu mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. kerana sifatnya yang terpuji itu. Sifat kasih mesra di antara insan itu  adalah benteng penghalang daripada segala persengketaan dan permusuhan.

Wallahua’lam.

Dipetik dari buku 'Bertemu Janji Allah Jilid 2' tulisan YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd Aziz bin Hj Nik Mat.

p/s: Hasil perkongsian nota dari seorang sahabat saya di laman Facebooknya. Moga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Amiin ya Allah. =)

Monday, December 5, 2011

Tiupan semangat

Bismillah.

Hari ni hujan gerimis pagi sikit.. petang pun begitu.. juga malam. Sangat taat hujan pada perintah Allah. Andai manusia ni taat macam taatnya alam pada Penciptanya, tentu lebatnya air mata si hamba selebat hujannya alam. 

Bulan-bulan sibuk mula kembali.. Tiada hujung minggu.. Sesekali mencuri peluang untuk melangkah ke pantai. Melihat ombak berbicara. 

Ingin sekali nak ucap terima kasih pada si 'cikgu' yang sangat sabar memberi tunjuk ajar.. Satu-satu dia terangkan.. Moga Allah balasnya dengan sebaik-baik balasan..

Allah bagi peluang hari ni, dapat jumpa dia-dia yang asyik memberi semangat. Sesekali terlari topik, akan ada yang tarik balik supaya kembali ke landasan. Berbicara santai, mendengar cerita keluarga sambil-sambil berkongsi air, kopok lekor , biskut dan segala 'bekalan' yang ada. 

Tersenyum gembira. Adakala berkongsi duka. 

Terima kasih ya Allah sebab pinjamkan mereka-mereka. Moga-moga kasihMu sentiasa bersama kami.  

Wallahua'lam..

Sunday, December 4, 2011

Aku Malu Menjadi Isterimu

Bismillahirrahmanirrahim.

Diantara kebahagiaan seorang insan adalah memiliki rumah yang luas, jiran yang baik, isteri yang solehah. Namun, rumah yang luas tidak mampu menjamin kebahagiaan andai mempunyai jiran yang berakhlaq buruk. Rumah yang luas tidak mampu menghadirkan kebahagiaan andai mempunyai isteri yang toleh (berakhlaq buruk).

Memiliki isteri yang solehah seolah-olah memiliki syurga di dunia kerana rumah yang sempit terasa luas kerana hatinya sentiasa lapang apabila berada bersama isteri. Memiliki isteri solehah samalah juga mempunyai jiran yang baik kerana isteri adalah 'jiran yang paling hampir' dengan suami.

Setelah 25 tahun hidup sebagai suami isteri, baru Hassan membaca perasaan isterinya itu pun kerana terjumpa diari milik isterinya semasa menyimpan barang-barang milik isterinya. Runtun hatinya, sebak dadanya sehingga air mata lelakinya menitis perlahan. Begitu sekali penilaian isterinya yang terlalu dikasihi selama ini terhadap dirinya.

Sedari menjadi pengantinmu, aku umpama ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang bertanggungjawab. Kecantikan ku engkau pelihara sebaik-baiknya, kau sediakan sebuah rumah yang terbaik menjadi tempat berteduh dari hujan dan panas. Kau siapkan makanan yang terbaik menghindari aku dari lapar dan dahaga.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang soleh. Solatku engkau jaga, meskipun usia sudah mencapai baligh tetapi masih engkau ingat-ingatkan aku supaya sentiasa solat di awal waktu. Saat kesibukan dengan hal ehwal anak-anak, engkau cepat-cepat mengambil alih agar aku boleh solat seawal yang mampu.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang penyayang. Di saat isterimu sibuk dengan urusan rumahtangga meski kepenatan menjalankan dakwah kepada ummah, tanganmu masih ringan untuk memasak buat keluarga. Lelahmu belum sempat dilepaskan, keringatmu tidak pernah kering namun engkau masih meluangkan waktu mencurah perhatian buat isteri dan anak-anak.

Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang amanah. Di saat dirimu dibebani amanah memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa, engkau masih berusaha keras menjadi anak yang membahagiakan kedua ibubapamu. Dengan sapaan salam, pelukan erat, bisikan ingatan dan kerinduan buat ibubapamu seringkali menjadi muhasabah buatku dalam mendidik anak-anak agar tumbuhnya kedewasaan anak-anak akan mengikut jejak langkah ayah mereka. Biar banyak mana sekalipun tanggungjawab terbeban, amanah sebagai seorang anak tetap dilaksanakan.

Sedari menjadi pengantinmu, aku seolah-olah menjadi pengantin pada setiap hari. Dengan senyuman yang murah di bibirmu, dengan kiasan bahasa cinta dari lenggok badanmu, dengan pantulan kasih yang terbias dari gerak gerimu, dengan alunan ayat-ayat yang sering mengembalikan aku kepada cinta. Engkau membugar cintaku kepada Allah kerana hanya dengan cinta Allah akan menyemarakkan cinta antara kita.

Suamiku, andai saja engkau mengetahui apa yang aku karangi... pasti hilang segera segala rasa yang engkau bebani. Kasih sayang itu menjadi melodi hidup terindah pada setiap hamba Allah. Tiada manusia yang akan berduka andai setiap manusia hidup berkasih sayang.

Pasang dan surut air lautan kehidupan kita, bahtera kasih yang engkau gembleng sentiasa dipadu dengan kecintaan kepada Tuhan. Sekali kapal terhuyung dipukul badai ujian, engkau segera mengingatkan aku dengan sirah-sirah habiballah agar hatiku tunduk dengan kebesaran Tuhan.

Suamiku, engkau telah berusaha menjadi role-model terbaik buatku dan anak-anak dan aku yakin sekali memang dirimu telah menjadi qudwah buat kami. Syariat Ilahi engkau genggami, sunnah nabi engkau telusuri. Hanya aku sahaja yang tempang berdiri di sebelahmu menjulang panji-panji Islam dengan segala kelemahan diri.

Suamiku, sungguh... aku malu menjadi isterimu.

"Wahai isteri yang ku cintai, sungguh aku sangat berbangga menjadi suamimu!"

Hassan membisikkan kata-kata tersebut, menghantar perasaannya yang berseri-seri. Khadijah terdiam seribu bahasa. Hilang kata-kata.

--------

Diriwayatkan oleh Rasulullah semasa isra' mikraj, baginda diperlihatkan Allah kepada suasana syurga dan neraka. Kebanyakan dari penghuni neraka terdiri dari WANITA. Apabila ditanya kepada Rasulullah mengapa wanita menghuni neraka, Rasulullah menjawab kerana ramainya wanita yang kufur dengan pemberian suami.

Apabila mendapat sesuatu dari suami, tidak bersyukur.
Apabila tidak mendapat apa yang dihajati, maka diaibkan suami.

‎"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Wallahua'lam.

by Insyirah Soleha | Aku Malu Menjadi Isterimu.

*Maaflah.. tiba-tiba saya rasa nak share penulisan ni.. >.<
Moga bermanfaat. 

Friday, December 2, 2011

Kuat

Bismillah.

Iman, kesihatan, kekayaan, kebebasan, rasa aman, semangat muda dan ilmu adalah inti daripada semua yang diinginkan oleh orang-orang yang berfikir. Namun hanya sedikit yang boleh mendapatkannya sekaligus.

Sangat suka melihat mereka-mereka yang 'kuat'. Terus bertahan.. 

Mereka-mereka dan dia-dia yang jauh di mata dan juga yang di depan mata. Ingin sekali membluetooth semangat dari mereka. 

Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah dari Mukmin yang lemah.

Kuat, bukan hanya terhad pada kekuatan fizikal sahaja. Bestnya jadi Mukmin yang kuat.

''Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu."
(Mafhum Al-Anfal:60)

Bersiap-siaplah dengan segala kekuatan yang ada.. 

=)

Wallahua'lam.