Bismillahirrahmanirrahim.
Diantara kebahagiaan seorang insan adalah memiliki rumah yang luas, jiran yang baik, isteri yang solehah. Namun, rumah yang luas tidak mampu menjamin kebahagiaan andai mempunyai jiran yang berakhlaq buruk. Rumah yang luas tidak mampu menghadirkan kebahagiaan andai mempunyai isteri yang toleh (berakhlaq buruk).
Memiliki isteri yang solehah seolah-olah memiliki syurga di dunia kerana rumah yang sempit terasa luas kerana hatinya sentiasa lapang apabila berada bersama isteri. Memiliki isteri solehah samalah juga mempunyai jiran yang baik kerana isteri adalah 'jiran yang paling hampir' dengan suami.
Setelah 25 tahun hidup sebagai suami isteri, baru Hassan membaca perasaan isterinya itu pun kerana terjumpa diari milik isterinya semasa menyimpan barang-barang milik isterinya. Runtun hatinya, sebak dadanya sehingga air mata lelakinya menitis perlahan. Begitu sekali penilaian isterinya yang terlalu dikasihi selama ini terhadap dirinya.
Sedari menjadi pengantinmu, aku umpama ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang bertanggungjawab. Kecantikan ku engkau pelihara sebaik-baiknya, kau sediakan sebuah rumah yang terbaik menjadi tempat berteduh dari hujan dan panas. Kau siapkan makanan yang terbaik menghindari aku dari lapar dan dahaga.
Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang soleh. Solatku engkau jaga, meskipun usia sudah mencapai baligh tetapi masih engkau ingat-ingatkan aku supaya sentiasa solat di awal waktu. Saat kesibukan dengan hal ehwal anak-anak, engkau cepat-cepat mengambil alih agar aku boleh solat seawal yang mampu.
Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang penyayang. Di saat isterimu sibuk dengan urusan rumahtangga meski kepenatan menjalankan dakwah kepada ummah, tanganmu masih ringan untuk memasak buat keluarga. Lelahmu belum sempat dilepaskan, keringatmu tidak pernah kering namun engkau masih meluangkan waktu mencurah perhatian buat isteri dan anak-anak.
Sedari menjadi pengantinmu, aku menjadi ratu di dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh raja yang amanah. Di saat dirimu dibebani amanah memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa, engkau masih berusaha keras menjadi anak yang membahagiakan kedua ibubapamu. Dengan sapaan salam, pelukan erat, bisikan ingatan dan kerinduan buat ibubapamu seringkali menjadi muhasabah buatku dalam mendidik anak-anak agar tumbuhnya kedewasaan anak-anak akan mengikut jejak langkah ayah mereka. Biar banyak mana sekalipun tanggungjawab terbeban, amanah sebagai seorang anak tetap dilaksanakan.
Sedari menjadi pengantinmu, aku seolah-olah menjadi pengantin pada setiap hari. Dengan senyuman yang murah di bibirmu, dengan kiasan bahasa cinta dari lenggok badanmu, dengan pantulan kasih yang terbias dari gerak gerimu, dengan alunan ayat-ayat yang sering mengembalikan aku kepada cinta. Engkau membugar cintaku kepada Allah kerana hanya dengan cinta Allah akan menyemarakkan cinta antara kita.
Suamiku, andai saja engkau mengetahui apa yang aku karangi... pasti hilang segera segala rasa yang engkau bebani. Kasih sayang itu menjadi melodi hidup terindah pada setiap hamba Allah. Tiada manusia yang akan berduka andai setiap manusia hidup berkasih sayang.
Pasang dan surut air lautan kehidupan kita, bahtera kasih yang engkau gembleng sentiasa dipadu dengan kecintaan kepada Tuhan. Sekali kapal terhuyung dipukul badai ujian, engkau segera mengingatkan aku dengan sirah-sirah habiballah agar hatiku tunduk dengan kebesaran Tuhan.
Suamiku, engkau telah berusaha menjadi role-model terbaik buatku dan anak-anak dan aku yakin sekali memang dirimu telah menjadi qudwah buat kami. Syariat Ilahi engkau genggami, sunnah nabi engkau telusuri. Hanya aku sahaja yang tempang berdiri di sebelahmu menjulang panji-panji Islam dengan segala kelemahan diri.
Suamiku, sungguh... aku malu menjadi isterimu.
"Wahai isteri yang ku cintai, sungguh aku sangat berbangga menjadi suamimu!"
Hassan membisikkan kata-kata tersebut, menghantar perasaannya yang berseri-seri. Khadijah terdiam seribu bahasa. Hilang kata-kata.
--------
Diriwayatkan oleh Rasulullah semasa isra' mikraj, baginda diperlihatkan Allah kepada suasana syurga dan neraka. Kebanyakan dari penghuni neraka terdiri dari WANITA. Apabila ditanya kepada Rasulullah mengapa wanita menghuni neraka, Rasulullah menjawab kerana ramainya wanita yang kufur dengan pemberian suami.
Apabila mendapat sesuatu dari suami, tidak bersyukur.
Apabila tidak mendapat apa yang dihajati, maka diaibkan suami.
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]
Wallahua'lam.
by Insyirah Soleha | Aku Malu Menjadi Isterimu.
*Maaflah.. tiba-tiba saya rasa nak share penulisan ni.. >.<
Moga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment