Firman Allah yang mafhumnya :

"dan DIA yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, DIA Maha Perkasa, Maha Bijaksana.." (Al-Anfal:63)

Thursday, September 30, 2010

Kerna Kami milik-Mu


2 Syawal 1431H.

Apabila melangkah masuk ke situ, mata terus mencari. Mencari dia yang hampir 2 tahun tidak ku temui dan langsung tidak ku dengar khabarnya. Tiba-tiba mata terhenti pada sekujur tubuh yang terbaring di salah satu katil di situ. Kami saling memandang. Dahinya berkerut. Mungkin terkejut dengan kehadiranku.

Ku terkelu melihat dia. Memandangnya sayu dan sedayanya menguntumkan senyuman. Ku cuba menahan dari empangan air mata yang kian sarat pecah apabila memandang kain selimut yang menutupi kakinya. ‘Allah..Allah..Allah.. Kami layak diuji kerna kami milikMu Ya Rabbi’, hati berbisik.

Dia menghadiahkanku sekuntum senyuman. Ku lihat dia cuba memberi kekuatan pada dirinya dan juga diriku. Masihku ingat semalam tatkala mendapat satu mesej pesanan ringkas dari salah seorang sahabat sekolahku mengkhabarkan keadaan sahabat kami itu. Bisakah dia menerima takdirMu.

Masih terngiang-ngiang lagi ayat dari mulutnya yang membuatkan ku hilang bicara mendengarnya. Dalam senyuman hambar dia meluahkan. “Dah jadi OKU aku ni ya..”

Sabar. Segalanya hanya pinjamanNya. Hanya itu mampu ku katakan. Tidak mampu lagi ku menuturkan kata-kata lain mendengar luahan hati dari seorang ibu pula. Kabur pandangan saat berita tentang apa yang menimpa anaknya itu sampai ke telinganya. Ku lihat ada butir-butir permata membasahi pipi ibu itu.

Bibir mudah mengucap sabar. Tapi hatilah yang remuk menderita.

Sabarlah sahabatku, Allah sedang menguji kita.

3 Syawal 1431H.

Ku lihat wajahnya ceria menyambut kehadiran kami. Ku tahu dia cuba sembunyikan apa yang dia rasa. Hari ni ku memberi ruang untuk sahabat-sahabat lain berbicara dengan dia.

Ku melihat katil sebelah sahabatku. Seorang wanita yang umurnya dalam lingkungan 50an. Tangannya berbalut. Di bahagian dagunya kelihatan kesan jahitan. Dia tersenyum melihat ku melangkah mendekatinya.

Tiada setiap satu pun yang berlaku pada kita melainkan ia adalah takdirNya. Ujian ada yang berbentuk kesusahan dan kesenangan. Kita menganggap ia kesusahan apabila hati kita tidak mahu menerimanya sedangkan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Kadangnya kita lupa yang kesenangan juga merupakan ujian.

Ya Allah, ku mohon kurniakanlah kami kekuatan untuk menghadapi segalanya.

4 Syawal 1431H

Kali ini dia menggelakkan ku. “Muka kamu lagi..”

Ku tersenyum mendengar gurauannya. Hanya beberapa hari yang ku datang menjengukmu ini belum mampu membayar 2 tahun yang dah berlalu.

5 Syawal 1431H

Konvoi raya sahabat-sahabat sekolahku singgah di rumahnya.

Terkaku seketika apabila ku melihatnya duduk di kerusi roda itu. Entah mengapa ku tak mampu memandang wajahnya. Sungguh..

Hatiku sayu melihat dia. Dan saat itu, ku tak mampu membendung air mata dari terus mengalir.

“Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” Mafhum (16:96)

Wallahua’lam..

No comments: