“Allah Pencipta segala sesuatu dan Dia Maha Pemelihara atas segala sesuatu.. Milik-Nyalah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi. Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, mereka itulah orang yang rugi.” [Mafhum 39:63-64]
Kaki semakin mendekati pantai. Terus melangkah setapak demi setapak. Maha suci Allah, Tuhan yang memberikan kekuatan kepada hambaNya yang lemah lagi tidak memiliki apa-apa ini.
Allah…
Mendengar desiran ombak menghempas pantai. Kuat hempasannya. Kadangnya rintik-rintik air laut membasahi muka. Kagum dengan ciptaanNya. MasyaAllah.. segalanya indah.
Allah.. kerdilnya hambaMu ini. Terlalu kotornya hatiku ini sehingga kadangnya terlalu alpa dengan dunia. Seakan lupa seketika ku akan berhadapan denganMu. Membentangkan segala urusanku di dunia ini.
Merenung jauh.. jauh ke dasar lautan.
‘Pandanglah sesuatu itu dengan mata hati. Jika memandang laut, jangan hanya dipandang permukaannya. Takut-takut kau hanya mampu melihat sampah yang terapung dek kerana gelapnya hati. Pandanglah sehingga ke dasar lautan.. bagaimana ? Pandanglah dengan mata hati.. Hati yang bersih InsyaAllah akan semakin jelas pandangannya.’
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata itu. Kata dari mulut sendiri sepatutnya lagi jelas didengar oleh diri sendiri.
Allah akan mengujimu kelak.
Terdiam. Sangat pedih dan tajam kata-katamu itu duhai hati kecilku.
Hidup jangan hanya banyak beri alasan.
Tunduk.
Malu dengan diri sendiri. Pada DIA apatah lagi.
Firman Allah yang mafhumnya:
Mereka berdua merayu: 'Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami orang daripada orang yang rugi.'
(Al-A'raf: 23)
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment